Pengumuman ~ Announcements

~ SELAMAT DATANG AHLI-AHLI BARU KKS ~ JAYAKAN BERSAMA KEMPEN 1 AHLI BERDAFTAR 5 AHLI BARU ~ Pada 15.05.2010 laman Facebook Komuniti Kadayan Sejagat kini telah mencapai keahlian 4,000 orang ~ http://komunitikadayansejagat.blogspot.com/ ~

Monday, December 28, 2009

SEMANGAT KERJASAMA DIKALANGAN MASYARAKAT KADAYAN

Oleh: Abdul Samat bin Kasah

SEMANGAT KERJASAMA DIKALANGAN MASYARAKAT KADAYAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Seperti bangsa-bangsa lain, masyarakat Kadayan mempunyai majlis tradisinya sendiri yang terdiri dari majlis-majlis tradisi unik buat masyarakat Kadayan dan majlis-majlis yang dikongsi dengan masyarakat-masyarakat lain dirantau ini. Sebagai contoh majlis tradisi yang unik bagi masarakat Kadayan ialah ‘Makan Tahun’. Majlis-majlis tradisi lain yang dikongsi sama dengan masyarakat-masyarakat lain ialah majlis kenduri kahwin, majlis khatam Quran, majlis berkhatan (bersunat), majlis kenduri doa selamat & tolak bala, Kenduri arwah dan sebagainya.

Masyarakat Kadayan memang tersohor dengan masayarakat yang beradat dan menyanjung tinggi budaya bangsanya dan ini masih subur dan segar dikalangan masyarakat Kadayan khususnya diperkampungan Kadayan di kepulauan Borneo. Makan Tahun merupakan tradisi warisan masyarakat Kadayan zaman berzaman dan masih dilaksanakan hingga kehari ini, khususnya masyarakat Kadayan di Negeri Sarawak. Manakala tradisi ini semakin pupus buat masyarakat Kadayan di Sabah, begitu pun saya difahamkan terdapat usaha gigih oleh aktivis-aktivis budaya Kadayan Negeri Sabah yang sedang berusaha untuk menghidupkan kembali warisan budaya ini.








Mbungkus kalupis. Gambar foto sumbangan paadian Mohd Zulkipli Perali.









Makan Tahun dianjurkan bersempena dengan berakhirnya musim menuai padi dan pada kebiasaannya dianjurkan dipertengahan tahun (bulan Jun / Julai). Majlis makan tahun disertai oleh semua golongan masyarakat dari pemimpin komuniti sehinggalah kepada ahli masyarakat biasa. Untuk menjayakan majlis Makan Tahun memerlukan tenaga kerja yang ramai dan disinilah keunikannya masyarakat Kadayan yang sememangnya tersohor dengan semangat kerjasama dan bergotong royong.








Gambar foto sumbangan paadian Mohd Zulkipli Perali.









Semangat kerjasama yang tinggi dikalangan masyarakat Kadayan bukan sahaja dimanifestasikan semasa makan tahun, tetapi juga dikesemua majlis yang disebutkan diatas dan didalam kehidupan seharian. Majlis-majlis tradisi masyarakat Kadayan dan majlis-majlis lain seperti menyambut kedatangan pemimpin dan ketua-ketua masyarakat juga menuntut semangat kerjasama serupa dan semangat tersebut lahir secara semula jadi tanpa permintaan dan arahan dari sesiapa. Walau sedikit mana pun darah Kadayan yang mengalir dalam diri seseorang itu, pasti akan merasakan bahawa semangat kerjasama untuk menjayakan sesuatu majlis tradisi mahu pun majlis-majlis lain akan terpancar walau sekecil mana pun sumbangan mereka untuk menjayakan majlis tersebut. Inilah keunikan bangsa Kadayan!







Banyak tu kalupis! Gambar foto ihsan paadian Yunus Hj Taib.










Majlis tradisi dan majlis-majlis lain masyarakat Kadayan mempunyai aktiviti-aktiviti tersendiri yang memerlukan kerjasama rapat dikalangan pemimpin masyarakat dengan penduduk setempat dikalangan bangsa Kadayan. Secara tradisinya aktiviti-aktiviti tersebut dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu sebelum, pada hari dan selepas sesuatu majlis.

Aktiviti-aktiviti sebelum berlangsungnya sesuatu majlis yang dibuat secara bergotong royong adalah seperti berikut: -

1. Membina Taatak / Pasang Khemah
2. Mencari Kayu Api / Menyediakan Gas Memasak
3. Meminjam atau menyediakan kawah dan pinggan mangkuk;
4. Memasang ‘tumang’ / menyediakan dapur gas
5. Berburu atau “NILIP” untuk menangkap rusa dan kijang dengan menggunakan ‘jaing’ atau senapang patah. Zaman sekarang lebih mudah dengan membeli atau menangkap (milik sendiri) kerbau atau lembu atau membeli daging di pasar atau pasar raya;
6. Ngalupis dan mawajit;
7. Menyembelih, melapah dan memotong daging kerbau / lembu;
8. Menyembelih, membersihkan dan memotong daging ayam kampung;
9. Menyediakan “kandigulai” (sayur-sayuran) seperti umbut hanibung, bangkala atau piasau. Selain daripada itu paceri nenas dan gulai nenas juga sering menjadi hidangan pilihan di majlis-majlis masyarakat Kadayan;
10. Menyediakan rempah ratus, ubi kentang dan sebagainya;

Aktiviti-aktiviti pada hari berlangsungnya sesuatu majlis yang dibuat secara bergotong royong adalah seperti berikut: -

1. Memasak nasi, lauk-pauk dan sayur-sayuran. Untuk memastikan semua makanan dihidangkan dalam keadaan segar dan ‘hangat’, nasi, lauk-pauk dan sayur-sayuran dimasak diwaktu pagi pada hari berlangsungnya majlis. Kalupis dan wajit biasanya disediakan sehari sebelum majlis diadakan kerana kuih-kuih tersebut boleh bertahan lama sebelum menjadi basi. Lazimnya penyediaan masakan yang dimasak dengan banyak menggunakan kawah dan sebagainya dilakukan oleh kaum lelaki seperti menanak nasi, memasak daging, mengacau dadih kalupis dan wajit;

2. Kaum wanita pula pada kelazimannya berperanan menyediakan rempah ratus masakan, memotong bawang, ubi kentang, dan menyediakan makanan dan minuman tenaga kerja yang sibuk bergotong royong membuat persediaan majlis;

3. Gadis-gadis dan teruna-teruna Kadayan pula bertindak sebagai penyambut tetamu, menghidang makanan, mengedarkan buah tangan (pada majlis-majlis tertentu) dan memastikan semua jemputan dapat menjamu selera dan merasa diri mereka dihormati sebagai jemputan;

Aktiviti-aktiviti selepas berlangsungnya sesuatu majlis yang dibuat secara bergotong royong adalah seperti berikut: -

1. Mengemas pinggan mangkuk, alas meja dan sebagainya;
2. Kerja-kerja mencuci pinggan mangkuk dan pembersihan kawasan persekitaran;
3. Memulangkan pinggan mangkuk, kawah dan periuk belanga kepada tuan punya;
4. Membuka (malaak taatak) atau membuka khemah, menyusun kerusi meja dan sebagainya. Jika khemah tersebut disediakan oleh penyedia perkhidmatan khemah, maka kerja-kerja membuka akan lebih mudah kerana ia akan dilakukan oleh penyedia perkhidmatan;

Demikianlah sedikit gambaran betapa kukuhnya tali silaturrahim dan semangat kerjasama dikalangan masyarakat Kadayan didalam menjayakan sesebuah majlis tradisi atau majlis-majlis yang lain.







Himpunan Kalupis terpanjang di Malaysia.








Pada suatu ketika zaman dahulu kala, majlis-majlis besar seperti makan tahun dan kenduri kahwin ini lah juga medan tempat mencari jodoh, mencuba kehandalan ilmu kebatinan masing-masing, menunjuk bakat bercerita, berlawak dan sebagainya. Orang Kadayan zaman dahulu mempunyai naluri yang tinggi untuk mencuba sesuatu, khususnya didalam ilmu kebatinan.

Dizaman kanak-kanak saya dahulu saya masih ingat dua kejadian anih yang tidak akan luput dari ingatan iaitu kejadian nasi yang ditanak tidak masak dan daging yang dimasak juga mengalami nasib yang sama. Potongan-potongan daging yang sedang dimasak didalam kawah akan melompat keluar dengan sendirinya dan masih berdarah walaupun sudah dimasak berjam-jam lamanya. Tetapi terdapat satu keistimiwaan didalam masyarakat Kadayan zaman dahulu dan masa sekarang juga iaitu ‘persediaan’ pihak tuan rumah untuk menghadapi keadaan seperti itu kerana sememangnya ia dijangka akan berlaku.






Wajah orang Kadayan masa lampau?






Didalam ingatan saya dan juga apa yang diceritakan oleh orang tua-tua, jarang sekali sesuatu majlis tradisi Kadayan zaman dahulu gagal akibat dari gangguan-ganguan tersebut kerana penawarnya tetap ada dan keadaan akan pulih seperti sediakala. Itulah hakikat yang mungkin agak pahit untuk ditelan, bagi setengah orang, namun kita tidak boleh mengubah hakikat dan sejarah bangsa Kadayan masa lampau.

Satu permainan mayarakat Kadayan zaman dahulu yang amat sukar untuk difahami oleh generasi Kadayan masa kini. Cerita-cerita seperti ini ada dimuatkan didalam blog peribadi Penasihat KKS berjudul Reaping the Benefits.

Semoga semangat kerjasama dan amalan bergotong royong ini akan terus subur dikalangan masyarakat Kadayan kerana inilah asas kepada kesatuan bangsa kita. Insya Allah. Salam hormat dan terima kasih. Wassalam.

No comments:

Post a Comment