Pengumuman ~ Announcements

~ SELAMAT DATANG AHLI-AHLI BARU KKS ~ JAYAKAN BERSAMA KEMPEN 1 AHLI BERDAFTAR 5 AHLI BARU ~ Pada 15.05.2010 laman Facebook Komuniti Kadayan Sejagat kini telah mencapai keahlian 4,000 orang ~ http://komunitikadayansejagat.blogspot.com/ ~

Thursday, December 31, 2009

PERUTUSAN TAHUN BARU 2010 OLEH CREATOR / PENGASAS KOMUNITI KADAYAN SEJAGAT




Paadian Sabran Mamit
Creator / Pengasas
Komuniti Kadayan Sejagat





Bismillahirrahmanirrahim, Assalamua’laikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Segala puji bagi Allah swt, selawat dan salam ke atas nabi Muhamad SAW, sahabat-sahabatnya dan mereka yang mengikut jalan hidup Baginda SAW.

Paadian-paadian,

Moga Allah swt memberkati hidup kita semua. Sempena tahun baru 2010, elok kita melihat sejenak apa yang telah kita lakukan dalam setahun yang lalu dan tahun-tahun sebelumnya. Jika baik, bersyukurlah dan berazam untuk peningkatan. Jika sebaliknya, marilah kita bersama-sama memperbaikinya.

Pada tahun 2009 bangsa Kadayan telah menaikkan taraf penguasaannya dalam menguasai dunia maya/internet dengan tertubuhnya jaringan sosial “ KOMUNITI KADAYAN SEJAGAT ”. FB KKS ini diharap dapat merapatkan jurang pelbagai kaum di negara kita khasnya dan di seluruh dunia amnya terutama bagi bangsa Kadayan yang kita sayangi ini. Masa yang akan datang ini mungkin banyak cabaran yang perlu kita hadapi, terutama golongan muda tetapi dengan penguasaan IT, ilmu dalam pelbagai bidang kita berharap bangsa Kadayan tidak ketinggalan berbanding dengan bangsa lain. Istilah “PALAK IT” telah mengubah cara hidup bangsa Kadayan walau di mana pun kita berada. Mudah-mudahan dengan wujudnya KKS ini dapat dijadikan wadah berguna untuk merapatkan silaturahim antara paadian-paadian bangsa Kadayan di seluruh dunia.

Apabila tiba tahun baru semua orang akan membuat azam baru, mudahan-mudah azam baik kita dengan niat kerana Allah akan termakbul dengan usaha berterusan. Oleh itu dalam kita membuat azam baru dengan berbagai-bagai azam dan perubahan yang ingin kita lakukan, jangan kita lupa bahawa asas perubahan yang mantap bermula dari iman itu sendiri. Bila mantap iman, maka mantaplah langkah perubahan yang ingin kita lakukan. Insyaallah perubahan sebegini lebih berkat dan dapat menggamit rahmat Allah SWT dalam hidup kita.

Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kerana menyokong penubuhan KKS. KKS ini adalah milik kita bersama dan kitalah yang perlu mempertahankan kewujudannya sehingga ke akhir zaman. Saya juga memohon maaf daripada paadian-paadian sekiranya dalam perhubungan melalui maya ini, saya pernah tertulis perkara-perkara yang menyinggung perasaan dan sebagainya.

Sebagai penamat bicara sempena tahun baru 2010, saya menyeru kepada diri saya dan paadian semua, samada ahli KKS atau masyarakat seluruhnya agar dapat melakukan ‘perubahan menuju kecemerlangan’ berasaskan keimanan yang ikhlas. Insyaallah bantuan Allah SWT akan bersama-sama dengan kita. Amin.

INDAKAN KADAYAN LENYAP DI DUNIA. INSYALLAH. KADAYAN DULU, KINI DAN SELAMANYA.
" Inda Majal Inda Luih "

Sekian, wassalam .

Paadianmu dalam bangsa Kadayan.

SABRAN BIN MAMIT
Creator / Pengasas
Komuniti Kadayan Sejagat

No comments:

Post a Comment