Berita ini dimuatkan didalam blog rasmi Komuniti Kadayan Sejagat (KKS) adalah sebagai pengajaran kepada semua ahli facebook KKS, supaya berhati-hati apabila menulis sesuatu rencana didalam blog masing-masing dan menulis komen / thread semasa berinteraksi di laman facebook. - Penasihat KKS
KUALA LUMPUR 26 Jan. - Siasatan terhadap penulis blog yang didakwa menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail baru-baru ini akan diteruskan meskipun kerajaan tidak berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan, ia selaras dengan tugas polis yang bertanggungjawab untuk membuka kertas siasatan dan menyiasat sekiranya terdapat laporan.
Beliau berkata, justeru tidak timbul soal meminta maaf kerana siasatan pihaknya dilakukan berdasarkan laporan yang diterima.
"Kertas siasatan akan disiapkan dan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
"Keputusan bergantung kepada DPP untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim hari ini bahawa kerajaan tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap penulis blog yang memohon maaf secara terbuka setelah menyedari kesilapan dalam penulisan blog mereka.
Bagaimanapun, katanya, penulis blog yang terbabit dengan sesuatu kesalahan haruslah membuat permohonan maaf secara formal kepada pihak yang berkaitan.
Lelaki berusia 29 tahun itu dikatakan menghina Almarhum Sultan Johor yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong dalam satu artikel dan disiarkan dalam blognya, adukataruna.blogspot.com baru-baru ini.
Susulan kecaman pelbagai pihak, penulis itu kemudian menyiarkan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap keterlanjuran dirinya dalam blog sama.
Dia juga menarik balik artikelnya itu sebagai tanda mengaku salah dan berjanji akan memperbaiki tingkah laku dari semasa ke semasa.
Sumber : Sila klik disini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment