Pengumuman ~ Announcements

~ SELAMAT DATANG AHLI-AHLI BARU KKS ~ JAYAKAN BERSAMA KEMPEN 1 AHLI BERDAFTAR 5 AHLI BARU ~ Pada 15.05.2010 laman Facebook Komuniti Kadayan Sejagat kini telah mencapai keahlian 4,000 orang ~ http://komunitikadayansejagat.blogspot.com/ ~

Tuesday, December 22, 2009

CADANGAN PROJEK AHLI-AHLI FB KKS BAGI TAHUN 2010

Oleh: Abdul Samat bin Kasah

CADANGAN PROJEK AHLI-AHLI FB KKS BAGI TAHUN 2010

Assalamuaalaikum wbt.

Saya amat berbangga dan teruja melihat perkembangan dan kemajuan FB KKS yang semakin mantap dan mempunyai keahlian yang hampir mencecah 600 orang (tepatnya 593 orang) ketika rencana ini ditulis. Malah dengan kehadiran beberapa orang ahli yang aktif berforum telah merancak dan memeriahkan lagi FB KKS. Saya kagum dengan semangat positif bangsa Kadayan yang telah ditunjukkan di FB KKS.







Gambar foto ihsan blog Kedayan Ulu Sipitang













Gambar foto ihsan blog Blog Kpg Kulapis - Maklumat dan Info Terkini






Sepertimana yang pernah paadian Sabran Mamit dan Penasihat katakan sebelum daripada ini, KKS harus mempunyai halatuju atau “deliverables” yang dapat direalisasikan.

“Deliverables” ini pada hakikatnya bukan “deliverables” KKS tetapi ia adalah milik individu atau komuniti ahli FB KKS yang cintakan warisan bangsa Kadayan yang mereka adalah sebahagian daripadanya. KKS hanyalah satu wadah untuk kita berinteraksi dan menyampaikan cadangan-cadangan yang difikirkan dapat memperkasa dan melestari bangsa Kadayan.

Sebagai Penasihat FB KKS ingin mencadangkan beberapa projek mudah tetapi berimpak maksima bermula tahun 2010 dan tahun-tahun berikutnya. Kalau dalam konteks syarikat atau perniagaan ini kita panggil “Business Plan”. Apa yang mustahak ialah semua ahli FB KKS dapat meluangkan sedikit masa 15 minit – 30 minit sehari untuk tujuan merealisasikan projek ini.

Cadangan Projek #1 – Menubuhkan blog kampung Kadayan ahli-ahli FB KKS diseluruh Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak.

1. Tubuhkan satu blog peribadi atau blog rasmi (mana-mana yang difikirkan bersesuaian) bagi setiap kampung atau pun satu blog yang mewakili beberapa buah kampung Kadayan;

2. Matlamat utama cadangan penubuhan blog-blog Kampung Kadayan adalah seperti berikut: -

a. Merekodkan sejarah kampung-kampung Kadayan diseluruh Malaysia buat tatapan komuniti setempat, orang awam, rakyat Malaysia dan Negara-negara lain. Contohnya bagaimana nama kampung diperolehi, pejuang-pejuang Kadayan menentang penjajahan British, Jepun dan sebagainya;

b. Merekod dan mempromosikan warisan budaya dan tradisi bangsa Kadayan kepada masyarakat setempat, negara, dunia dan yang amat penting untuk memaklumkan kewujudan bangsa Kadayan itu sendiri. Contohnya majlis makan tahun, tarian tradisi, alat-alat muzik tradisi, kraftangan, seni anyaman, perubatan tradisional dan banyak lagi;

c. Menjadikannya sebagi sumber rujukan buat pengkaji-pengkaji sejarah bangsa Kadayan;

d. Mempromosikan aktiviti-aktiviti ekonomi (tradisional dan moden) komuniti Kadayan setempat, contohnya bertanam padi, berternak ayam, itik, ikan, kambing, lembu dll, “home-stay” dan apa jua aktiviti ekonomi yang menjana pendapatan komuniti Kadayan setempat;

e. Mempromosikan aktiviti-aktiviti masjid dan surau seperti korban, berbuka puasa, ceramah-ceramah agama, sambutan Maulidur Rasul, Maal Hijrah dan banyak lagi;

f. Mempromosikan kumpulan-kumpulan / persatuan / kelab sukan, kompang, marhaban, pancak silat, dan sebagainya;

3. Sekiranya blog yang ditubuhkan ialah blog rasmi kampung tersebut, lebih baik memohon persetujuan dan kerjasama dari Ketua Kampung, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan Imam Masjid atau Surau kampung paadian sebelum menubuhkan blog kampung berkenaan. Jika blog yang ditubuhkan merupakan blog peribadi persetujuan tersebut tidak diperlukan, tetapi lebih baik dan hormat kalau mereka juga dimaklumkan;

4. Blog ini dicadangkan untuk mengandungi perkara-perkara seperti tercatat di dalam matlamat penubuhan dan secara ringkasya seperti berikut: -

a. Sejarah kampung;
b. Pentadbiran kampung;
c. Statistik kependudukan;
d. Masjid dan Surau;
e. Aktiviti keagamaan, sukan, budaya dan sosial;
f. Persatuan atau kelab marhaban, kompang, pancak silat, dan sebagainya;
g. Bahan-bahan bersejarah seperti rumah lama , perkuburan dan tapak-tapak bersejarah yang lain;
h. Buah-buahan kampung Kadayan
i. Aktivit-aktiviti lain yang dapat menyumbang kearah pembangunan bangsa Kadayan.

5. Isi kandungan blog tidak semestinya mengikut susunan di atas. Apa-apa maklumat yang ada boleh dipaparkan diblog berkenaan. Contoh terbaik yang kita ada buat masa ini ialah blog-blog seperti berikut: -

a. Kadayan Ulu Sipitang – url : http://kedayanulusipitang.blogspot.com/
b. Blog Kpg Kulapis - Maklumat dan Info Terkini – url : http://kpgkulapis.blogspot.com/

6. Saya cadangkan paadian-paadian ahli FB KKS menggunakan “BLOGGER” (Google Account) untuk menubuhkan blog masing-masing. Blogger merupakan kaedah membuat blog yang paling “user friendly dan flexible”. Blog rasmi KKS menggunakan applikasi ini;

7. Untuk menubuhkan blog baru, apa yang paadian perlu ialah pergi ke blog rasmi KKS dan “right click create blog” yang terdapat di atas sebelah kanan blog tersebut. Selepas itu ikut arahan-arahan yang dipaparkan;

8. Pendaftaran membuka blog baru akan memakan masa tidak lebih dari 5 minit berdasarkan kepada kepantasan paadian-paadian masing masing memberi maklumat-maklumat yang diperlukan;

9. Sekiranya paadian-paadian memerlukan bantuan dari saya, sila mesej di FB atau email terus kepada email pentadbiran blog rasmi KKS ia itu 1kadayan@gmail.com

10. Sila hantar url-url blog yang telah ditubuhkan kepada email di atas untuk pihak kami paparkan di blogroll blog rasmi KKS.

Saya bagi pihak pentadbiran KKS ingin sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli-ahli FB KKS yang telah banyak menyumbang idea, gambar, cadangan, komen dan sebagainya demi kebaikan KKS. Selamat Menubuhkan Blog Kampung Kadayan. Semuga inisiatif awal ini akan dapat memperkasa dan melestari bangsa Kadayan yang kita cintai. Wassalam.

Sunday, December 20, 2009

KENAPA TOPIK-TOPIK BERKAITAN POLITIK TIDAK DIGALAKKAN DIBINCANG DI FB KKS?

Oleh: Abdul Samat bin Kasah

KENAPA TOPIK-TOPIK BERKAITAN POLITIK TIDAK DIGALAKKAN DIBINCANG DI FB KKS?



Oleh : Abdul Samat bin Kasah

Assalamualaikum wbt.

1. Isu ini ada dibangkitkan oleh seorang dua ahli FB KKS yang kurang senang kenapa isu-isu politik tidak digalakkan dibincang di FB KKS sedang kan blog-blog dan facebook ahli politik yang berasal dari Negeri Sabah dipaparkan di ”blogroll” blog rasmi KKS;

2. Isu ini telah mengundang ‘kekecohan’ di FB KKS akibat dari pemula ‘thread’ merasa dirinya tercabar kerana bantahan dari ahli-ahli FB KKS yang lain sehingga mencetuskan kemelut yang masih berlarutan di FB KKS;

3. Saya percaya ramai ahli-ahli FB KKS pada mulanya bersimpati dengan pemula “thread” berkaitan yang mengetengahkan masaalah Pendatang Tanpa Izin (PTI) di Sabah yang mengikut pemula ‘thread', beliau mempunyai bukti-bukti yang kukuh bahawa pihak tertentu telah mengeluarkan MyKad dan dokumen-dokumen lain yang berkaitan kepada PTI;

4. Namun, setelah bertukar-tukar komen mengenai isu ini, tercetus lah perkataan-perkataan yang tidak sedap didengar diantara satu dengan yang lain, sedangkan isu yang mahu diketengahkan oleh pemula ‘thread’ tenggelam begitu saja akibat dari konflik atau perselisihan pendapat dikalangan peserta-peserta forum;

5. Saya difahamkan bahawa pemula ‘thread’ adalah salah seorang aktivis sosial dan juga seorang penulis yang mengambil berat tentang isu yang dibangkitkannya kerana beliau khuatir satu hari nanti keselamatan Negeri Sabah akan terjejas akibat dari tindakan pihak tertentu ‘menghalalkan’ taraf kewarganegaraan PTI sebagai permastautin tetap dan / atau warganegara Malaysia;

6. Saya yakin semua ahli FB KKS yang berasal dari Sabah khasnya dan yang berasal dari Sarawak dan Negara Brunei Darussalam amnya bersimpati dengan pemula ‘thread’ yang mengetengahkan isu PTI di Sabah;

7. Tindakan yang kurang bijak oleh pemula ‘thread’ ialah apabila mengeluarkan kata-kata yang ditafsirkan sebagai menghina KKS oleh sebahagian besar ahli-ahli FB KKS yang menyertai forum tersebut;

8. Saya yakin dan percaya, sekiranya pemula ‘thread’ menggunakan pendekatan yang lebih memikat hati ahli-ahli FB KKS untuk menjual idea beliau, isu yang diketengahkannya akan mendapat sambutan yang hebat kerana isu berkenaan merupakan satu isu yang berkepentingan awam;

9. Malangnya pemula ‘thread’ memilih pendekatan yang kurang memikat hati ahli-ahli KKS sehingga mencetuskan konflik dan perselisihan pendapat dikalangan ahli-ahli FB KKS;

10. Seperti yang disebut diatas, pemula ‘thread’ juga ialah seorang penulis dan saya yakin, jika beliau menggunakan pendekatan pemasaran yang betul dan mengambil peluang dari keahlian FB KKS, beliau boleh memasarkan semua karya dan produk-produk yang beliau ada di FB KKS kerana FB KKS merupakan sebuah ‘marketpalce’ yang agak besar dengan keahlian yang sudah hampir mencapai 600 orang semasa ‘posting’ ini dibuat;

11. Apa yang memisahkan diantara kebatilan dan kebenaran didalam kemelut ini ialah garisan yang amat tipis iaitu kesabaran dan kematangan di kalangan pemula ‘thread’ dan ahli-ahli KKS yang merasa mereka dicabar dan tercabar. Jelas sekali jika kedua-dua elamen iaitu ‘sabar dan matang’ dapat digunakan dengan bijaksana, saya yakin perkara ini tidak akan tercetus sehingga mencapai tahap diluar kawalan;

12. Topik berkaiatan politik memang sedap didengar dan dibincangkan dimana-mana jua seperti di kedai kopi, kantin, cafeteria, lobi-lobi hotel, coffee-house, dirumah, diforum-forum komuniti dan sebagainya, tetapi perbincangan mengenai tajuk politik ini pada kebiasaannya akan menzahirkan implikasi yang kurang baik dan pada akhirnya akan menghancurkan ukhwah, kerjasama dan tali silaturrahim yang telah terjalin di KKS;

13. Matlamat penubuhan FB KKS adalah jelas iaitu untuk “MENGUMPUL SUKU KAUM KADAYAN DISELURUH DUNIA’. Dalam konteks ini persetujuan telah dicapai untuk menukar nama asal Komuniti Kedayan Malaysia kepada Komuniti Kadayan Sejagat yang lebih bersifat “seluruh dunia” dan tidak dibatasi oleh sempadan Negara Malaysia sahaja;

14. Malah ejaan Kadayan yang pada asalnya Kedayan telah ditukar dengan persetujuan ramai melalui undian di blog rasmi KKS;

15. Kenapa pentadbir blog rasmi KKS memaparkan blog dan facebook ahli-ahli politik Kadayan dari Sabah di blogroll KKS? Dimana pula blog dan facebook ahli-ahli politik Kadayan dari Sarawak? Isu ini telah saya jelaskan dengan sejelas-jelasnya dan diperjelaskan lagi oleh paadian Aslina Juti yang pada pendapat saya sudah amat jelas. Begitupun izinkan saya sekali lagi merumuskan atas apa yang dijelaskan sebelum ini (oleh Penasihat dan paadian Aslina Juti): -

15.1. Perlu diperjelaskan disini sekali lagi bahawa pihak pentadbiran KKS tidak berpihak atau memihak kepada mana-mana parti politik samaada pihak pemerintah atau pembangkang;

15.2. Sekiranya Wakil Rakyat (Ahli Parlimen dan ADUN) yang berketurunan Kadayan itu dari parti pembangkang sekali pun blog dan facebook mereka pasti akan dipaparkan di blogroll KKS. Hakikatnya kedua-dua pemimpin Kadayan berkenaan adalah dari parti pemerintah. Saya rasa ini tidak melanggar prinsip KKS yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik;

15.3. Bagaimana pula dengan pemimpin-pemimpin Kadayan dari Sarawak? Saya telah berpesan kepada paadian-paadian ahli KKS dari Sarawak yang tidak kurang ramai bilangannya dan sangat aktif menyumbang idea, gambar dan cadangan-cadangan di KKS untuk memaklumkan kepada saya url blog-blog mereka dan ‘nicks’ facebook mereka untuk saya paparkan sama di blog rasmi KKS. Insya Allah setelah url-url dan ‘nicks’ mereka saya perolehi maka pihak pentadbiran KKS akan memaparkanya di blog rasmi KKS;

15.4. Disamping itu dengan adanya blog-blog dan facebook pemimpin Kadayan di blog rasmi KKS, maka bertambah senanglah lagi ahli-ahli FB KKS yang ingin berkenalan atau memberi cadangan, komen dan sebagainya berkaitan perkara-perkara tertentu kepada pemimpin-pemimpin berkenaan tanpa perlu tercari-cari di injin carian internet;

16. Pada hemat saya, sebahagian besar dari ahli-ahli FB KKS adalah cukup matang dan inginkan keharmonian dan keselesaan untuk berforum tanpa gangguan-gangguan yang boleh menjejaskan ukhwah dan tali silaturrahim dikalangan ahli-ahli FB KKS. Lantaran itu pihak pentadbiran KKS merasakan bahawa topik-topik yang berunsur politik tidak digalakkan untuk dibincangkan di forum FB KSS atas sebab-sebab yang telah diperjelaskan.

Wassalam.

Saturday, December 19, 2009

Penipuan di Kadayan Kedayan Kalakati

Assalamualikum wbt. Sudah dua hari saya tidak membuat sebarang komen dan membuka thread baru di Komuniti Kadayan Sejagat (KKS). Walaubagaimanapun saya dan Admin-Admin yang lain memerhatikan apa yg berlaku dalam tempoh dua hari ini.

Setelah meneliti semua thread dan komen di KKS dan di Kadayan Kedayan Kalakati ini hasil yang diperolehi.

Nick (nama)dan gambar paadian Ho Liau telah dipergunakan untuk memfitnah dan mencemuh Penasihat KKS di facebook Kadayan Kedayan Kalakati. Bukti-buktinya saya perturunkan seperti dibawah ini:







Ini Profile Ho Liau yang Palsu. No. id : id=100000598052268. Perhatikan Ho Liau palsu tidak ada "friends".














Ini Profile Ho Liau yg tulin. No. id=100000476383925 dan mempunyai banyak friends





Berikut diperturunkan snapshots postings di Kadayan Kedayan Kalakati yang menggunakan nama dan id palsu Ho Liau. Baca dan perhatikan baik-baik bagaimana orang ini menggunakan nama Ho Liau untuk mencemuh Penasihat di facebooknya.





































































Sekian untuk penilaian paadian-paadian ahli KKS yang setia.


Klik disini untuk akses ke facebook Kadayan Kedayan Kalakati.

Tuesday, December 15, 2009

GARIS PANDUAN BERFORUM DI FACEBOOK KKS

Oleh: Abdul Samat bin Kasah






Komuniti Kadayan Sejagat di facebook.

Assalamualaikum wbt. Paadian-paadian ahli KKS.

Dalam tempoh kurang dari 48 jam FB KKS telah dihangatkan oleh ahli-ahli KKS yang berasa tersinggung dengan kehadiran satu dua orang ahli yang memulai ‘thread’ dan komen menghina Bangsa Kadayan. Reaksi dari paadian-paadian yang tersinggung dengan kata-kata satu dua orang ahli berkenaan berbeza-beza tetapi dengan satu tujuan untuk mempertahankan maruah Bangsa Kadayan dan kewibawaan FB KKS ini. Perkara seperti ini tidak wajar berlaku di FB KKS kerana ianya mengeruhkan keadaan disini. Sebelum kehadiran ahli-ahli yang tidak beretika ini, saya lihat keadaan disini amat harmoni dan semangat setiakawan jelas terpancar dikalangan ahli-ahli FB KKS. Saya sendiri merasakan kegembiraan dan keceriaan berkenaan.

Untuk memastikan keadaan harmoni dan semangat setiakawan terus subur di FB KKS, saya sebagai Penasihat KKS ingin menggariskan panduan-panduan yang boleh menyumbang kearah mencapai hasrat dan aspirasi penubuhan FB KKS.

1. Masuk secara beradab, beradat dan beretika. Inilah tradisi Bangsa Kadayan yang ingin kita semarakkan di FB KKS;

2. Buka ‘thread’ atau komen yang tidak menyinggung perasaan ahli-ahli KKS yang lain dengan menggunakan bahasa yang baik dan bersopan;

3. Sekiranya paadian-paadian ingin mengiklankan atau memasarkan sesuatu (produk, event, idea dll.) buat secara beretika kerana FB KKS ini merupakan “market place” yang luas dan besar. Gunakan konsep dan prinsip pemasaran yang betul untuk menarik perhatian pelanggan BUKAN dengan cara menghina pelanggan;

4. Seperti yang saya katakan banyak kali, topik-topik yang dibincangkan tidak terbatas kepada bahasa dan budaya Kadayan sahaja. Paadian boleh membincangkan topik-topik mengenai pendidikan, ekonomi, sosial, pekerjaan, kursus & seminar, jenaka dan sebagainya yang boleh membantu pembangunan Bangsa Kadayan;

5. Gambar foto dan video yang ingin dipaparkan di FB KKS hendaklah terdiri dari bahan-bahan yang boleh membantu perkembangan minda yang positif berkaitan bangsa Kadayan, budaya dan warisan, motivasi, jenaka, dan sebagainya yang tidak menyinggung perasaan ahli-ahli FB KKS yang lain;

6. Thread dan komen boleh disampaikan secara bersahaja, berjenaka, sindiran, serius dan cara-cara lain seperti yang kita lihat sebelum ini.

Sebagai penasihat, sekali lagi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada semua ahli-ahli KKS yang selama ini telah menyumbangkan idea-idea dan topik-topik yang bernas. Teruskan berforum dengan cara yang beretika, mudah-mudahan Komuniti Kadayan Sejagat satu hari nanti akan menjadi sebuah organisa...si yang berwibawa, “authoritative” dan menjadi sumber rujukan buat generasi mendatang. Amin. Wassalam.

Sunday, December 13, 2009

SELAMAT DATANG KE KOMUNITI KADAYAN SEJAGAT

Selamat Datang ke Komuniti Kadayan Sejagat. Seperti yang di janjikan, blog rasmi KKS akan berhijrah ke tajuk dan url baru mulai hari Isnin, 14 December, 2009. Pihak pentadbiran blog rasmi KKS memohon maaf kerana terdapat beberapa kekurangan yang masih didalam proses dikemaskini. "Header" blog ini masih belum diubahsuai kerana menunggu logo rasmi KKS yang sedang didalam proses pindaan ke ejaan yang baru. Selamat melayari blog Komuniti Kadayan Sejagat.

Disamping itu pihak kami juga menyeru kepada paadian-paadian semua untuk memberi maklumbalas terhadap isu-isu yang berkepentingan demi pembangunan bangsa Kadayan. Ini meliputi perkara-perkara berkaitan pelajaran, ekonomi, sosial, warisan budaya, peluang-peluang pekerjaan, latihan dan kursus, dan sebagainya.

Pada hemat saya, isu yang mustahak ditangani pada masa ini ialah kaedah menyeragamkan ejaan bahasa Kadayan supaya ianya dapat ditutur dan ditulis sama seperti bahasa Kadazandusun di Sabah dan Iban di Sarawak. Kedua-dua bahasa tersebut telah digunakan di akhbar-akhbar tempatan dan saya perhatikan mereka lebih awal menyeragamkan ejaan-ejaan bahasa mereka.

Sekiranya paadian-paadian mempunyai cadangan untuk merealisasikan perkara ini sila sampaikan cadangan-cadangan paadian ke email 1kadayan@gmail.com atau mesej kepada penasihat, creator atau pegawai-pegawai lain melalui facebook supaya satu format pendekatan dapat dirangka dalam masa yang terdekat ini. Sekian dan salam hormat.

BLOG RASMI KKS MENCATAT 1,000 ORANG PENGUNJUNG




Imej yang mencatatkan pelawat yang ke 1,000 pada hari Ahad, December 13, 2009 @17:25HRS




KKS telah mencipta satu lagi sejarah didalam penubuhannya kerana pada hari Ahad, December 13, 2009 @17:25 HRS blog ini telah mencatat lawatan yang ke 1,000 orang. Untuk makluman blog rasmi KKS telah ditubuhkan pada 4 December, 2009. Saya bagi pihak pengurusan blog rasmi KKS ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua ahli KKS dan pelawat-pelawat lain yang telah menghadirkan diri di blog ini. "Milestone" selanjutnya ialah untuk mencatat 10,000 lawatan.

KEPUTUSAN RASMI UNDIAN "KEDAYAN ATAU KADAYAN?"

Pengumuman dibuat oleh : Abdul Samat bin Kasah, Penasihat KKS

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.






Keputusan Rasmi Undian "KEDAYAN ATAU KADAYAN?"







1. Bagi pihak Creator dan pasukan pentadbiran Komuniti Kedayan Sejagat (KKS), izinkan saya dengan rasminya memaklumkan bahawa keputusan undian “KEDAYAN ATAU KADAYAN?” telah pun diperolehi;

2. Undian telah dibuka selama 7 hari bermula 06/12/2009 dan tamat pada jam 1443 HRS pada 13/12/2009;

3. Keputusan undian dapat diperolehi dari blog rasmi KKS di url : http://komunitikedayansejagat.blogspot.com/

4. Sila maklum bahawa undian ini dibuat semata-mata untuk melihat respon dari ahli-ahli KKS berkaitan isu ejaan yang telah lama menghimpit masyarakat Kedayan / Kadayan dan telah banyak dibincangkan oleh aktivis-aktivis budaya Kedayan / Kadayan sebelum ini;

5. Memandangkan KKS kini sudah mempunyai ahli berdaftar seramai lebih 500 orang, ianya merupakan satu wadah yang cukup berwibawa dan mewakili bangsa Kedayan / Kadayan yang celik Komputer (Palak Komputer). Ahli-ahli KKS terdiri dari berbagai profession dan kelulusan. Oleh yang demikian pandangan mereka wajar diambil perhatian secara serius bukan sahaja didalam jaringan KKS, malah diluar sana terutamanya badan-badan atau persatuan-persatuan berdaftar yang mewakili bangsa Kedayan / Kadayan dimana saja mereka berada;

6. Dalam hemat saya, sebagai Penasihat KKS, ini merupakan langkah awal untuk mencapai konsensus dan meletakkan tanda noktah terhadap isu ejaan Kedayan / Kadayan ini. Begitupun kita harus ingat, isu-isu yang berkaitan perundangan, contohnya Perlembagaan Negeri Sabah dan Sarawak, terutamanya artikal-artikal yang berkaitan hak-hak peribumi negeri-negeri tersebut , saya pasti ianya dieja sebagai “Kedayan”. Saya sendiri telah melihat salinan Perlembagaan Negeri Sarawak dan disalah satu artikal perlembagaan tersebut ada menyentuh hak suku peribumi Negeri Sarawak dan diantaranya ialah suku kaum Kedayan yang dieja sebagai “Kedayan”;

7. Dalam tempoh seminggu kebelakangan ini saya membaca dan memahami semua maksud komen-komen yang dihantar ke blog rasmi KKS berkaitan isu “Kedayan atau Kadayan?” yang semuanya berjumlah 16 komen. Bagi pihak pengurusan blog rasmi KKS saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang dapat meluangkan masa menghantar komen-komen tersebut dan saya yakin komen-komen itu boleh dijadikan panduan untuk membantu KKS membangun halatuju yang lebih mantap dimasa terdekat ini;

8. Demikian juga halnya di dalam jaringan KKS di facebook, pihak kami ingin merakamkan ribuan terima kasih atas pandangan-pandangan positif yang telah diberikan oleh ahli-ahli KKS yang perihatin terhadap isu ejaan ini. Pihak pentadbiran dan pengurusan KKS telah mengambil maklum semua komen-komen tersebut dan akan di satukan sebagai panduan membangun halatuju KKS seperti yang disebut di atas;

9. Satu perkara yang harus saya sentuh disini, khususnya komen-komen yang diberikan di jaringan KKS di facebook yang telah diberikan dalam berbagai bentuk dan rupa, ada yang serius, ada yang bersahaja, berbentuk sindiran, dan tidak kurang juga dalam bentuk jenaka. Inilah lanskap bangsa Kedayan / Kadayan yang sebenarnya dan kita harus berbangga dengan tradisi yang kita warisi dari nenek moyang kita;

10. Berikut ialah keputusan rasmi undian “KEDAYAN ATAU KADAYAN?” yang telah dianjurkan di blog rasmi KKS (http://komunitikedayansejagat.blogspot.com/ ) :

KEDAYAN = 16 undi
KADAYAN = 37 undi
MANA TIA SAJA = 4 undi
JUMLAH = 57 undi

Sila maklum bahawa jumlah undi MANA TIA SAJA sebanyak 4 undi telah dibahagi dua untuk memberi keadilan terhadap keputusan yang di perolehi. Justeru itu keputusan muktamad ialah seperti berikut: -

KEDAYAN = 18 undi
KADAYAN = 39 undi
JUMLAH = 57 undi

Saya dengan rasminya mengumumkan bahawa ejaan rasmi yang bakal digunakan didalam tajuk jaringan KKS di facebook, blog rasmi KKS dan logo rasmi KKS ialah “KOMUNITI KADAYAN SEJAGAT”. Peralihan tajuk dari Komuniti Kedayan Sejagat kepada Komuniti Kadayan Sejagat akan berkuatkuasa pada hari Isnin, December 14, 2009. Manakala logo KKS akan menyusul kemudian. Sekian Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.