oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN
Islam tidak melarang peniaga mengambil untung tetapi jangan sampai menindas pengguna. - Gambar hiasan
HARGA memainkan peranan penting dalam menentukan keuntungan kepada penjual. Semakin tinggi harga barang, maka semakin tinggi keuntungan yang diraih oleh entiti yang mengeluar, menjual dan memasarkan barangan tersebut.
Namun, ramai yang tidak memahami bahawa setiap kali mereka menaikkan harga barang, maka semakin meningkat bebanan yang terpaksa ditanggung oleh pengguna.
Maknanya keuntungan yang berlipat-kali ganda akan mendatangkan kesusahan kepada orang lain.
Islam amat menitikberatkan keadilan dan kesaksamaan. Ia selaras dengan salah satu sifat Allah, iaitu Maha Adil. Sekiranya diperhatikan dan diselidiki secara mendalam terhadap hukum-hakam Allah, kita akan mendapati bahawa terdapat banyak nilai-nilai Islam yang dipaparkan secara tersurat dan tersirat.
Allah SWT berfirman: Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah, biarpun terhadap dirimu sendiri ataupun ibu bapamu dan kaum keluargamu. Jika ia kaya ataupun miskin, Allah lebih mengetahui keadaan keduanya, maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, sehingga kamu tidak berlaku adil. Jika kamu memutar belitkan, atau enggan menjadi saksi, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan. (An-Nisa': 135)
Sejajar dengan itu, Islam juga mengharamkan kezaliman. Bahkan, Allah menegah daripada cenderung atau menyokong perbuatan zalim walaupun ia dilakukan oleh orang lain.
Firman Allah SWT: Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan. (Hud: 113)
Dalam membicarakan kaedah penentuan harga, sebenarnya tiada dalil dari nas al-Quran dan hadis secara jelas yang khusus menyentuh tentangnya.
Namun, kita boleh menggunakan garis panduan umum berdasarkan prinsip menegakkan keadilan dan menolak kezaliman sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat-ayat sebelum ini.
Maka kaedah paling tepat dalam penetapan harga ialah jangan sampai menyebabkan ada pihak yang dizalimi.
Harga yang diletakkan kepada sesuatu barang yang ingin dikeluarkan jangan sampai menindas pengguna dan jangan mengabaikan hak penjual untuk mendapatkan keuntungan.
Sebaliknya, ia mestilah berada di pertengahan. Ini sejajar dengan sifat 'ibadurrahman (hamba Allah) yang bersifat pertengahan dalam melakukan perbelanjaan sebagaimana yang dicatatkan dalam al-Quran: Dan (hamba-hamba itu) apabila berbelanja tidak boros dan tidak kedekut, dan adalah perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian. (al-Furqan : 67)
Penetapan harga juga perlu berdasarkan kualiti dan kuantiti sesuatu produk. Di sinilah pentingnya kejujuran dan ketelusan di pihak peniaga atau penjual.
Kadang-kadang ada di antara kita yang sanggup meniru atau menciplak produk lain sehingga seakan-akan sama.
Lalu diletakkan harga yang sama untuk mengabui pengguna.
Maka berlakulah suasana yang tidak harmoni di antara pihak penjual dan pembeli. Justeru, letakkanlah harga berdasarkan kualiti sebenar barangan tersebut.
Janganlah disebabkan keghairahan meraih keuntungan yang berlipat kali ganda, kita sanggup menipu para pengguna.
Firman Allah SWT: Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa, sedangkan kamu mengetahui. (al-Baqarah: 188)
Namun begitu, kita perlu menyedari bahawa turun-naik harga berlaku akibat daktiviti permintaan dan penawaran di pasaran. Salah seorang ulama tersohor dalam bidang fiqh dan siasah syar'iyyah, Ibn Taimiah (1263-1328) mempunyai gagasan yang jelas tentang persoalan menetapkan harga.
Ibn Taimiah atau nama sebenarnya Taqiad-Din Abul Abbas Ahmad ibn Abd. al-Halim ibn Abd. as-Salam Ibn Taymiya al-Harrani menekankan bahawa sesiapa sahaja termasuk kerajaan tidak boleh terlibat dalam mengaturkan harga.
Ia perlu diserahkan kepada proses normal yang bersandarkan aktiviti pasaran semasa.
Teori yang sama juga dikemukakan oleh Adam Smith (1723-1790) melalui karyanya Wealth of Nation iaitu menyerahkan penentuan harga kepada pasaran bebas. Beliau mengkritik pihak kerajaan yang cuba masuk campur dalam proses penetapan harga.
Pada pandangan saya, kita perlu meraikan harga pasaran dalam menetapkan harga produk yang ingin dijual sekiranya produk-produk sama atau hampir sama spesifikasinya sudah wujud di pasaran.
Namun, kadang-kala pihak kerajaan juga perlu campur tangan dalam meletakkan harga. Contohnya harga siling sesuatu barangan keperluan harian untuk menyeimbangkan keperluan pengguna dan kehendak peniaga-peniaga.
Tanpa kawalan ini, maka peniaga yang tamak pastinya akan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan perasaan dan bebanan pengguna.
Namun begitu, penjual diharus menaikkan sedikit harga melebihi harga pasaran jika produk tersebut mempunyai nilai tambah (value added). Ini menyebabkan produk berkenaan mempunyai perbezaan dan keistimewaan berbanding dengan produk-produk yang sama di pasaran.
Sebagai contoh, harga sebuah rumah di sebuah lokasi adalah RM150,000. Namun, kerana pemilik rumah itu mahu menjualnya bersama dengan perabot beserta reka bentuk dan dekorasi yang sangat cantik, maka beliau diharuskan menjualnya dengan harga RM200,000 atau lebih.
Islam tidak mengehadkan nisbah untung yang boleh diambil oleh pihak penjual. Sebagai contoh, sekiranya rumah yang dibeli dengan harga RM50,000 pada 10 tahun dahulu, mungkin dapat dijual dengan harga RM1 juta pada masa sekarang.
Banyak faktor yang boleh menyebabkan aplikasi tersebut diharuskan. Antaranya, pembangunan yang pesat di kawasan tersebut atau lokasi yang strategik seperti adanya pasar raya, pengangkutan awam, sekolah dan kemudahan hospital. Oleh itu, permintaan terhadap rumah di kawasan tersebut meningkat.
Rasulullah SAW pernah membenarkan peniaga meningkatkan keuntungan sehingga melebihi 100% dari harga asal.
Ini dapat dilihat melalui Hadis Urwah Al-Bariqi; Sesungguhnya Nabi SAW memberi Urwah satu dinar untuk membeli seekor kambing, maka (atas kebijaksanaannya) dapat dibelinya dua ekor kambing, lalu dijualnya seekor dengan harga satu dinar, lalu ia datang bertemu Nabi membawa satu dinar dan seekor kambing, maka Nabi terus mendoakannya dalam jualannya, yang jika ia membeli tanah sekalipun pasti ia akan mendapat untung. (riwayat Al-Bukhari, no 3642 )
Hadis ini jelas memaparkan bahawa Urwah al-Bariqi telah membeli dua ekor kambing tersebut dengan harga setengah dinar. Namun, beliau menjualnya pula dengan harga satu dinar iaitu 100 peratus nilai untung yang diambil. Rasulullah SAW telah mengiktiraf perbuatan tersebut dan mendoakan Urwah al-Bariqi.
Kesimpulannya, penetapan harga banyak bergantung kepada kejujuran dan ketelusan penjual di samping melihat harga pasaran semasa.
Maka janganlah kita terlalu tamak untuk mendapatkan keuntungan berlebihan sehingga sanggup untuk menaikkan harga barang secara melampau-lampau.
Sumber : Sila klik disini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment