Oleh HAFIZAHRIL HAMID
POLITIK adalah seni untuk segala kemungkinan. Dan kerana itulah manusia sanggup melakukan apa saja hingga menghalalkan cara demi mencapai matlamat yang diidamkan. Itu yang sering dinyatakan oleh ahli falsafah dan ahli sains politik Barat mengenai politik.
Walaupun dari sudut yang lebih jelas politik adalah satu disiplin penting tentang bagaimana untuk membangunkan sebuah negara yang ideal namun akibat tindakan pelaku-pelaku politik menyebabkan politik sering dianggap sesuatu yang kotor dan jijik.
Dari segi maksud yang sering dianggap terbaik, politik adalah proses dan cara membuat keputusan oleh sesuatu kumpulan. Maksud ini biasanya digunakan bagi merujuk kepada tindakan kerajaan melakukan apa yang terbaik untuk negara dan masyarakat. Ia turut melibatkan tingkah laku politik selain membabitkan pihak korporat, ahli akademik, agama, dan pelbagai institusi lain.
Itu dari segi idealnya. Bagaimanapun apabila manusia mentafsirkan politik dari sudut kepentingan dan pengalaman peribadinya maka terhasillah kata-kata seperti yang diungkapkan Lenin iaitu politik ialah siapa yang boleh lakukan apa kepada siapa (Who could do what to whom ). Atau pun seperti yang dinyatakan seorang ahli sains politik, Harold Lasswell, politik adalah siapa yang dapat apa, bila dan bagaimana (who gets what, when and how ). Secara umumnya semua maksud yang dinyatakan ada kebenarannya tetapi untuk menjadikan ia sebagai paling ideal adalah kurang tepat serta jauh sekali dari kebenaran. Ini kerana soal yang paling menjadi tumpuan dalam politik pastinya membabitkan kuasa. Apabila seseorang atau sesuatu kumpulan itu mendapat kuasa maka siapa yang gagal mengawalnya akan turut terbuai dengan sifat dan kelakuan akibat gagal mengawal kekuasaan. Maka kerana itulah manusia menjadi gila akibat politik dan kerana kegilaan jugalah semua perkara diluar batasan akal sanggup dilakukan.
Inilah yang berlaku di Ukraine baru-baru ini apabila kegilaan berpolitik mengakibatkan suasana Parlimen negara itu bertukar seolah-olah berada di zoo. Parlimen Ukraine menjadi kecoh pada Selasa lepas apabila anggotanya bertindak bergaduh dan melontar bom asap ketika perbahasan hangat mengenai tempoh melanjutkan kehadiran sebuah pangkalan tentera laut Rusia di negara itu.
Rusia sebelum ini bersetuju untuk memberikan Ukraine diskaun sebanyak 30 peratus ke atas gas asli yang diimportnya bernilai AS$40 bilion (RM128.8 bilion) bagi tempoh 10 tahun jika Ukraine melanjutkan tempoh kehadiran pangkalan tenteranya di Ukraine.
Tindakan ini dilihat oleh pembangkang yang pro-Barat sebagai satu langkah mencemarkan kedaulatan negara itu. Kekecohan bermula apabila Speaker, Volodymr Lytvyn dibaling sedozen telur memaksa beliau berlindung di sebalik payung.
Pergaduhan
Beberapa bom asap juga dilontar di dalam dewan, dipercayai dilakukan oleh wakil rakyat pembangkang pro-Barat sebelum tercetus pergaduhan apabila anggota-anggota Parlimen saling tumbuk-menumbuk. Andriy Shevchenko, ahli Parlimen daripada blok yang diketuai bekas Perdana Menteri, Yulia Tymoshenko, mengaku bom asap berkenaan dilontar oleh pihaknya.
Pihak pembangkang turut mengungkit kekejaman Rusia yang pernah mengakibatkan kebuluran melampau atau dipanggil Holodomor pada tahun 1932-1933. Kejadian tersebut dikatakan dilakukan oleh pemerintah Rusia ketika itu, Josef Stalin sebagai usaha untuk mengendurkan semangat nasionalisme rakyat Ukraine yang dibimbangi boleh mencetus semangat untuk mendapatkan kemerdekaan. Kekejaman tersebut dikatakan telah mengakibatkan kematian antara tiga hingga 10 juta orang dan pihak pembangkang percaya ia dilancarkan sebagai usaha penghapusan etnik. Namun bagi pihak Rusia kejadian tersebut berlaku akibat dari kegagalan pembaharuan ekonomi yang dilakukan Stalin selain kemelut ekonomi yang teruk ketika itu.
Bagaimana Presiden Ukraine yang Pro-Rusia Viktor Yanukovych, tidak bersetuju dengan kenyataan itu dan beranggapan kejadian Holodomor itu bukan ditujukan kepada etnik-etnik tertentu tetapi berlaku kepada semua mangsa yang terlibat.
Kekecohan yang berlaku itu benar-benar memalukan imej negara itu dan turut dianggap sejarah hitam dalam politik Ukraine walaupun ia bukan pertama kali berlaku di dunia. Peristiwa pergaduhan ketika sidang Parlimen adalah sesuatu yang biasa berlaku di Taiwan dan Korea Selatan. Malah tidak ada apa yang menghairankan jika pergaduhan meletus ketika sidang Parlimen di kedua negara itu kerana ia seolah-oleh sudah menjadi perkara biasa walaupun ia dilihat mencemarkan perjalanan proses demokrasi.
Bagaimana walaupun keadaan kecoh di Parlimen Ukraine, masih terdapat ahli Parlimen meneruskan ucapan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
"Tidak kira lontar bom asap atau baling telur ataupun bergaduh, ia tidak mampu menidakkan pihak majoriti membuat keputusan," kata Perdana Menteri, Mykola Azarov selepas sesi tamat.
Namun di sebalik kejadian luar biasa yang menyaksikan dewan persidangan dipenuhi asap, Parlimen meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh armada Laut Hitam Rusia di Crimea sehingga 2042, yang disifatkan oleh pembangkang sebagai 'menggadai' Ukraine. Dengan sebahagian ahli Parlimen memekik 'malu', Parlimen meluluskan usul berkenaan dengan 236 daripada 450 anggota Parlimen mengundi menyokong usul tersebut.
Kejadian sebegini pastinya tidak boleh dielakkan apabila manusia terlalu obses dengan berpolitik kerana cuba mempertahankan kebenaran yang entah betul atau tidak. Akhirnya situasi sidang Parlimen yang sepatutnya menjadi landasan untuk wakil rakyat yang dipilih oleh masyarakat untuk menjadi suara mereka dalam soal-soal penting seperti pendidikan, pembangunan dan sebagainya tidak ubah seperti zoo. Apa lagi yang tinggal untuk dijadikan contoh kepada rakyat jika wakil mereka sendiri bertindak seperti orang yang tidak bertamadun.
Lebih menyedihkan kelihatannya kedua-dua pihak saling mempertikaikan kebenaran yang bukan lagi menjadi hak eksklusif mereka kerana saling berpihak kepada 'tuan" yang tidak sepatutnya. Pembangkang berpihak kepada Barat manakala parti pemerintah menjadi tali barut kepada Rusia. Memang menyedihkan apabila sistem demokrasi yang sering dibanggakan sebagai landasan terbaik untuk manusia berpolitik disalah guna untuk menjadi tali barut kepada pihak tertentu.
Ironinya kedua-dua pihak sama ada pembangkang mahupun parti memerintah mendakwa mereka adalah pihak yang mahu mendokong kedaulatan negara dan memastikan segala tindak-tanduk yang dilakukan adalah untuk kepentingan negara. Tetapi apa lagi makna yang tinggal jika sudah terang mereka mendakwa berpihak kepada kuasa-kuasa tertentu. Parti pemerintah yang pro-Rusia cuba mempertahankan tempoh melanjutkan kehadiran sebuah pangkalan tentera laut Rusia di negara itu. Manakala pihak pembangkang yang pro-Barat pula menentang hegemoni Rusia di negara tersebut. Maka sudah terang lagi bersuluh apa ertinya kedaulatan jika pemimpin yang sepatutnya lebih mendahulukan kepentingan negara terlalu terpengaruh dengan kehendak kuasa asing.
Oleh itu pergaduhan yang berlaku di Parlimen itu hanyalah lebih kepada peristiwa yang memalukan bagi penduduk Ukraine yang sudahpun hilang kedaulatannya akibat terlalu terikut dengan kehendak kuasa asing. Yang pasti pihak asing yang begitu bersungguh-sungguh cuba mencampuri urusan negara itu hanya akan ketawa dan bertepuk tangan kerana berjaya menjadikan negara itu huru-hara akibat kebodohan pemimpin Ukraine sendiri. Yang menjadi mangsa dan korban adalah penduduknya yang masih dahagakan pembangunan dan keamanan. Apa lagi yang tinggal jika kedaulatan yang begitu menjadi sandaran sesebuah negara akhirnya terkulai di tangan pihak asing yang cuma mahu memuaskan tembolok mereka sendiri.
Sumber : Sila klik disini.
Sunday, May 2, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment